fbpx

Rakyat bersemangat buat pilihan PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM HARIZ, NURUL ZAWANI, JAGAN

PETALING JAYA – Rakyat negara ini yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab memilih calon dan parti bertanding pada hari pengundian hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata mereka terutama pe­ngundi baru bersemangat untuk menyertai proses tersebut yang berlaku dalam tempoh lima tahun sekali.

Menurut pelajar, Azeem Hareez Hanif, 24, dia berharap proses pengundian pada hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Untuk mereka yang keluar membuang undi, amalkan sikap jujur. Jangan merakam video dan gambar terutama kertas undi semata-mata untuk dijadikan kandungan media sosial.

“Kepada calon yang dipilih, sekiranya menang dalam PRU15 tolong laksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagi penjawat awam, Nurul Zawani Zaini, 33, dia berharap rakyat Malaysia dapat membuat pilihan yang bijak dengan mengambil tahu sejarah negara, latar belakang dan rekod calon serta parti sebelum mengundi.

“Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa, jadi pada PRU kali ini, perkauman seharus­nya tidak menjadi isu utama. Kepakaran setiap bangsa diperlukan untuk menyumbang kepada ke­stabilan dan kemakmuran negara.

“Sekarang segala maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Kita tidak akan mampu mencari pemimpin yang maksum, namun harus memilih yang paling kurang mudarat,” ujarnya.

Di Johor, jurutera pembuatan, Jagan N. Santhi, 45, menyeru semua rakyat negara ini supaya bertanggungjawab dengan keluar mengundi.

“Setiap perubahan ambil masa yang lama, tetapi perubahan itu pasti akan tiba. Demi masa depan kita, keluarlah me­ngundi,” katanya.

Jagan turut berharap parti yang memenangi PRU15 me­nguatkuasakan Projek Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura secepat mungkin.

“Projek ini bukan sahaja akan memudahkan perjalanan antara sempadan Malaysia dan Singapura, malah ia juga akan me­ningkatkan ekonomi ke­dua-dua negara selepas pandemik Co­vid-19,” ujarnya.

Bagi pesara kerajaan, Normah Samsudin, 63, dia berharap anak muda dapat melaksanakan ama­nah kerana setiap undi tersebut amat bermakna buat negara.

“Zaman sekarang berbeza dengan dahulu. Ramai anak muda menghadapi masalah kewangan kerana keadaan ekonomi dan harga barang naik. Undi untuk masa depan yang lebih baik.

Kepada parti yang menang, dengarlah rintihan dan bantu rakyat yang susah. Amanah yang diberi jangan di­sia-siakan,” katanya.

Normah berharap hak pesara kerajaan dan warga emas tidak diabaikan kerana untuk meraih pendapatan dalam usia yang senja bukannya mudah.

“Hampir 40 tahun berkhidmat, saya harap warga emas dan pesara seperti saya tidak diabaikan hak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI