fbpx

PRU15: Tiga beranak jelajah 215 km seharian mengundi tiga Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alizah (kiri) dan ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Machang setelah dia selesai mengundi di Parlimen Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Tiga beranak sanggup berkorban masa dan tenaga untuk ‘menjelajah’ tiga kawasan Parlimen berbeza dalam tempoh sehari bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Kakitangan kerajaan, Alizah Muda, 47, berkata, dia bersama empat anaknya yang menetap di Machang, Kelantan pulang ke rumah mentua di Kampung Kuala Abang, Dungun untuk membolehkan suaminya, Mohamad Faizal Ramli, 51, mengundi.

“Seawal 8 pagi, suami (Mohamad Faizal) keluar mengundi sebelum kami terus bergerak ke Kampung Batu Enam di sini untuk saya pula mengundi bagi Parlimen Kuala Nerus.

“Sesudah itu, kami pulang semula ke rumah bagi membolehkan anak sulung kami pula mengundi di Parlimen Machang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Alizah berkata, walaupun perjalanan sehala ‘menjelajah’ tiga kawasan Parlimen itu sejauh kira-kira 215 kilometer, mereka tidak terasa penat malah ceria meraikan kemeriahan PRU15.

Tambahnya, dia dan suami, Mohamad Faizal belum berhasrat untuk menukar pusat pengundi walaupun sudah lama bermastautin di Machang.

“Lagi pun, sepanjang perjalanan lebih empat jam untuk mengundi hari ini, kami terhibur melihat kemeriahan PRU15 bagaikan sambutan hari raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI