PASIR PUTEH – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh melihat suasana pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja di sini berlangsung dalam keadaan muhibah.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, tiada sebarang provokasi berlaku sepanjang tempoh pengundian meskipun pengundi terdiri daripada pelbagai masyarakat yang berbeza fahaman politik.
“Daripada tempoh berkempen sehingga hari mengundi, tiada sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku. Jadi, ukhwah dan keakraban perlu berterusan tanpa sengketa hanya kerana perbezaan fahaman politik.
“Saya berharap, pemimpin yang menang nanti perlu bersikap sama rata memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa ada diskriminasi politik. Alhamdulillah, semoga negara terus cemerlang di bawah kepimpinan yang dipilih rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Wakaf Raja di sini hari ini.
Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi tiba di pusat mengundi itu bersama isterinya, Zuraini Che Hamid kira-kira pukul 8.40 pagi.
Nik Muhammad Zawawi yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh akan berdepan saingan daripada Datuk Zawawi Othman (Barisan Nasional), Mohammad Husain (Pakatan Harapan) dan Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar (Gabungan Tanah Air) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, beliau menang dengan majoriti 1,360 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi dan Datuk Kamarudin Md. Nor daripada Pakatan Harapan. – KOSMO! ONLINE