RANTAU PANJANG – Empat sekeluarga di Kampung Tersang di sini sanggup meredah banjir dengan menaiki bot lebih 500 meter untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Marie Suriani Abdullah, 43, berkata, ia merupakan pengalaman pertama buatnya, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak keluar mengundi.
Katanya, dia dan keluarganya tidak berpindah pusat pemindahan sementara (PPS) kerana hanya laluan masuk ke rumahnya yang digenangi banjir.
“Meskipun dalam keadaan berjaga-jaga, saya tetap turun mengundi dan membawa ibu, Jah Che Wil, 70, suami Rosmadi Che Wil, 49, yang sakit strok, dan anak Nur Shafika Rosmadi, 18, untuk mengundi.
“Kami terpaksa meredah air dengan menggunakan bot sendiri untuk ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsan (SK) Gual Periok di sini. Jarak ke pusat mengundi juga agak jauh iaitu hampir 10 kilometer dan kami perlu menaiki kereta untuk ke pusat mengundi,”katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tersang hari ini. – KOSMO! ONLINE