JOHOR BAHRU – Seorang remaja berusia 18 tahun berputih mata apabila tidak dapat mengundi setelah namanya tersenarai sebagai individu yang sudah selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, di sini hari ini.
Pelajar tingkatan enam, Nur Masyitah Mohd. Ridhwan itu berkata, perkara itu diketahui ketika dia membuat semakan namanya di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi tersebut.
Nur Masyitah berkata, dia tidak berdepan masalah itu ketika mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
“Kejadian itu hanya disedari ketika saya berada di saluran 10 di pusat mengundi berkenaan kira-kira pukul 2 petang.
“Pegawai SPR itu memaklumkan nama saya telah disenaraikan dalam nama individu yang sudah selesai mengundi sedangkan saya baru tiba untuk mengundi. Saya khuatir ada pihak yang menyalahgunakan butiran atau identiti saya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Nur Masyitah berkata, keluarganya difahamkan perkara sama juga menimpa beberapa pengundi di pusat mengundi berkenaan.
Sehubungan itu, dia tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini supaya pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu-KOSMO! ONLINE