PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menggantung proses pengundian di 11 Pusat Mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram, Sarawak susulan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, keadaan cuaca yang tidak baik telah menyebabkan para petugas pilihan raya tidak dapat sampai ke lokasi bertugas ditetapkan sama ada melalui laluan udara, darat dan air.
“Tarikh baharu pengundian bagi Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) yang terlibat akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPR, 11 Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Long Naah (Saluran 1 dan 2), Sekolah Kebangsaan Long Luteng (Saluran 2), RH TK Matthew Belulok Lalo Kampung Lepo Gah (Saluran 1 dan 2) dan Sekolah Kebangsaan Long Sait (Saluran 2).
Turut digantung proses pengundian adalah Sekolah Kebangsaan Long Tungan (Saluran 1 dan 2), Sekolah Kebangsaan Long Moh (Saluran 1 dan 2), Sekolah Kebangsaan Long Mekabar (Saluran 1), Sekolah Kebangsaan Long Jekitan (Saluran 1 dan 2), Sekolah Kebangsaan Long Lamei (Saluran 2), Sekolah Kebangsaan Lio Mato (Saluran 1 dan 2) dan Sekolah Kebangsaan Long Banga (Saluran 1 dan 2).
Terdahulu, pengundi di Parlimen Baram tengah hari tadi dilaporkan terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.-KOSMO! ONLINE