KUALA SELANGOR – Pengundi muda bukan sahaja teruja mengundi buat pertama kali malah memuji pelaksanaan operasi pilihan raya yang lancar dan cepat di pusat pengundian.
Ini seterusnya memberikan keselesaan kepada kumpulan tersebut dengan susunan teratur selain dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seorang pengundi muda, Nur Farisha Elina, 20 berkata, keterujaan dalam mengundi membuatkan dirinya hadir seawal pukul 7.30 pagi bersama ibunya, Sabahirah Mat Desa, 52 ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, di sini.
Katanya, ketika tiba didapati telah ramai beratur menunggu giliran untuk masuk dan membuang undi kira-kira pukul 8 pagi.
“Saya datang ke sini pun dah ramai orang, tapi proses nak buang undi sangat cepat dan selesai pukul 8.15 pagi.
“Jadi, keterujuaan itu juga pada sistem SPR dalam proses pengundian yang lancar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Salam Ahmad Saiful Hayaz, 18, pula mengakui sukar membuat pilihan calon sehingga ketika membuang undi.
“Seronok sebab dapat tunaikan tanggungjawab mengundi. Pusat mengundi ini pun ada 13 saluran dan nampak semuanya lancar.
“Cuma harap keputusan pengundian cepat berbanding sebelum ini,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE