JOHOR BAHRU – Pengantin baharu, Amiera Nabila Mohd. Shahrin, 28, teruja meraikan hari pernikahan dengan jejaka pilihan, Mohammad Ashraf Almas, 29, yang juga warga Afghanistan serentak dengan tarikh rakyat Malaysia memilih kerajaan hari ini.
Menurut wanita berasal dari Kampung Melayu Majidee itu, tarikh istimewa berkenaan akan dikongsi bukan sahaja oleh mereka, tetapi jutaan rakyat Malaysia, lebih lagi oleh parti politik yang berjaya tubuhkan kerajaan.
Menurut beliau, perasaan itu sedikit istimewa buat dirinya yang mengundi buat kali ketiga, hari ini.
“Rasa istimewa sedikit kerana berkongsi tarikh yang sama dengan kerajaan baharu. Tetapi pada awalnya sedikit terkejut kerana saya dan keluarga bercadang untuk melangsungkan majlis resepsi di dewan ini semalam.
“Namun apabila dimaklumkan PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dijadualkan hari ini, dengan dewan ini (Dewan Kampung Melayu) juga dijadikan pusat mengundi, saya terpaksa menukar venue majlis di saat-saat akhir, sebulan sebelum majlis berlangsung.
“Mujur Alhamdulillah masih ada lokasi dewan yang sesuai,” katanya yang hadir mengundi di Dewan Kampung Melayu sambil ditemani suami dan ahli keluarga lain yang turut selesai melaksanakan tanggungjawab mereka.
Tambah Amiera Nabila, dia bagaimanapun berasa sedih apabila sebilangan rakan-rakannya tidak dapat menghadiri sambutan hari istimewanya kerana mempunyai tanggungjawab kepada negara di negeri-negeri lain. – KOSMO! ONLINE