GUA MUSANG – Dua beradik Orang Asli berjalan kaki sejauh tujuh kilometer (km) ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di sini hari ini.
Abok Jurai Rudin, 29, dari Kampung Jias C di sini berkata, dia keluar rumah kira-kira pukul 7.30 pagi tadi dengan menggendong anak lelaki keduanya, Mangroi Seni berusia empat bulan dan ditemani kakaknya, Andak, 38, ke pusat mengundi itu.
“Kami mengambil masa lebih 30 minit dengan berjalan kaki sejauh tujuh km untuk mengundi hari ini.
“Apabila tiba di sekolah itu, kami terus dibenarkan masuk dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Menurut Abok Jurai, dia tidak menganggap perjalanannya ke sekolah itu sebagai kesusahan kerana sudah biasa berjalan kaki melalui jalan balak.
Katanya, dia bersyukur apabila proses pengundian dipermudahkan dan selesai dalam tempoh kira-kira 15 minit. – KOSMO! ONLINE