MUAR – Hujan membasahi bumi di negeri ini sejak malam tadi tidak menghalang pengundi khususnya di daerah ini turun menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.
Seawal pukul 7.30 pagi, orang ramai mula beratur di luar pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muar, di sini bagi membuat pilihan memilih pemimpin menerajui di Parlimen Muar.
Calon Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir membuang undi bersama isterinya di sekolah ini antara pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.
Bekas Perdana Menteri, berdepan saingan tiga penjuru dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, pada PRU-15 kali ini.
Pagoh yang menjadi antara kerusi panas itu memaparkan pertembungan antara Muhyiddin selaku Presiden Perikatan Nasional (PN) dengan figura tidak asing daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Razali Ibrahim serta seorang lagi calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman.-KOSMO! ONLINE