fbpx

PRU15: DSAI mohon maaf terpaksa potong barisan elak sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di sini hari ini. FOTO IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memotong barisan ketika mahu membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di sini sebentar tadi.

Anwar yang tiba di pusat pembuangan undi kira-kira pukul 9 pagi pada mulanya kelihatan berbaris bersama ratusan pengundi lain di luar bilik pengundian.

Walau bagaimanapun, kehadiran calon kerusi Parlimen Tambun itu mendapat tumpuan lebih 50 pengamal media dalam dan luar negara menyebabkan kesesakan sehingga mengganggu pengundi lain yang sedang menunggu giliran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San kemudiannya mendapatkan kebenaran daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan Anwar mengundi dahulu bagi memastikan kesesakan di PDM dapat dikawal.

Anwar kemudiannya dilihat meminta maaf kepada pengundi yang sedang berbaris kerana terpaksa berbuat demikan bagi memastikan keselesaan orang ramai dan kelancaran proses pengundian.

“Saya minta maaf ya terpaksa ke depan, kalau tidak sesak dengan wartawan di sini.

“Selepas selesai mengundi saya akan bergerak ke Tambun untuk meninjau proses pengundian dan berjumpa dengan penyokong saya di sana,”katanya.

Anwar hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk proses pengundian sebelum beredar dan beramah mesra bersama orang ramai di pusat pembuangan undi terbabit.

Kerusi Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana penyandang kerusi berkenaan, Nurul Izzah Anwar, 42, (PH) akan berdepan dengan pesaingnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said,53 (BN), Muhammad Fawwaz Mat Jan,39 (Perikatan Nasional) dan Mohamad Nasir Othman, 64 (GTA- Pejuang).

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau memperolehi 35,534 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memperolehi 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari Pas (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Anwar atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI