fbpx

PRU15: Calon DUN Tioman meninggal, PN mesyuarat petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMZAH menunjukkan jari berdakwat biru selepas mengundi di SK Sungai Bayor di Rantau Panjang, Selama hari ini.

LARUT – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi membincangkan isu berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan dalam kalangan pimpinan tertinggi PN diadakan susulan kematian calon daripada gabungan itu, Md. Yunus Ramli awal pagi tadi.

Katanya, perbincangan itu antara lain akan membincangkan calon baharu di kerusi berkenaan jika dikehendaki berbuat demikian.

“Hari ini kita ada mesyuarat di Kuala Lumpur, saya akan membincangkan perkara ini untuk meletakkan calon yang baharu jika dipanggil untuk menamakan calon.

“Ini adalah proses biasa sekiranya ada mana-mana calon meninggal dunia, untuk dibawa perbincangan ke peringkat tertinggi PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor di Rantau Panjang, Selama di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, pemilihan calon baharu di kerusi DUN Tioman itu nanti akan diberi keutamaan kepada calon daripada Pas dahulu.

“Jika Pas beritahu ya, kita ada calon, maka kita teruskan kerana dalam soal ini, tak kiralah kerusi itu kerusi Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau Gerakan, yang penting kita mencari calon berkaliber,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Md Yunus, 61, dipercayai meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi akibat komplikasi jantung

Allahyarham dilaporkan mengadu sakit dada dan dibawa ke Hospital Rompin oleh anaknya untuk menerima rawatan pukul 3 pagi. Susulan kejadian itu, pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI