HULU TERENGGANU – Seorang lelaki sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci hari ini.
A. Rani Mamat, 57, tiba di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman di sini seawal pukul 7.30 pagi untuk menjadi individu kedua mengundi di pusat pengundian tersebut.
“Saya bergegas keluar dari rumah di Felcra Bukit Kapah di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk ke pusat pengundian yang sejauh kira-kira 30 kilometer.
“Mengikut jadual, saya perlu berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus sebelum pukul 11 pagi sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui di SK Bukit Diman di sini hari ini.
A. Rani yang bekerja sendiri berkata, walaupun agak kelam-kabut, dia bersyukur masih diberi kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambahnya, beliau dijadual menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci bersama 72 jemaah lain.
“Kebetulan tarikh saya berangkat ke Tanah Suci sama dengan hari pengundian PRU15. Tidak boleh tukar (tarikh) dah.
“Cadangnya hendak ke Tanah Suci pada tahun 2020 tetapi niat itu tertangguh ekoran pandemik Covid-19,” katanya. – KOSMO! ONLINE