GOMBAK – Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate di sini.
Beliau ketika ditemui selepas selesai membuang undi bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab mengundi selain yakin dapat mempertahankan kerusi sebagai ahli parlimen kawasan berkenaan.
“Keputusan adalah pada rakyat, saya yakin…berdasarkan usaha yang saya lakukan sedaya upaya di Gombak InsyaAllah, rakyat akan sama-sama membangunkan Gombak,” katanya.
Terdahulu beliau tiba bersama isterinya Datin Seri Shamsida Taharin.
Azmin berentap dengan empat lagi calon lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan bertanding bagi mengekalkan kerusi tersebut bersama pesaing yang mempunyai kekuatan masing-masing antaranya calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Kerusi Parlimen Gombak disifatkan sebagai ‘kerusi panas’ apabila Azmin berdepan bersama anak didiknya sebelum ini yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Hari ini nasib Azmin akan ditentukan oleh pengundi-pengundi kawasan parlimen berkenaan yang mana beliau sama ada akan terus kekal menjadi ahli parlimen di Gombak atau sebaliknya.
Sebelum ini, selebriti Azwan Ali yang juga adik kepada Azmin telah menarik diri selepas tidak menghantar borang pencalonan pada saat-saat akhir.
Secara keseluruhan jumlah pengundi di Parlimen Gombak P.098 adalah seramai 206,744. – KOSMO! ONLINE