DOHA – Impian penyerang sensasi Senegal, Sadio Mane untuk membuat kemunculan pada Piala Dunia 2022 di Qatar tidak kesampaian selepas terpaksa disisihkan ekoran perlu menjalani pembedahan.
Mane mengalami kecederaan kaki ketika beraksi bersama Bayern Munich dalam aksi Bundesliga ketika berdepan Werder Breman pada 8 November lalu.
Bagaimanapun, Persekutuan Bola Sepak Senegal pada awalnya menyangka Mane hanya terlepas perlawanan pertama dan kedua sahaja dan dijangka mampu bersama pasukan tersebut untuk aksi berikutnya.
Namun, selepas melakukan ujian imbasan kelmarin, Bayern mendedahkan bahawa pemain berusia 30 tahun itu perlu menjalani pembedahan di Innsbruck, Austria untuk menyambung semula tendon pada tulang fibula kanannya.
“Pembedahan telah berjaya dilakukan. Penyerang itu akan memulakan proses pemulihannya di Munich dalam tempoh beberapa hari akan datang,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal, Augustin Senghor menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan dan menegaskan kesihatan pemain adalah penting.
“Kami telah bersedia sejak menerima berita mengenai kecederaan Mane. Kami telah menunggu keputusan ujian baharu dan kami semua bersetuju kesihatan Mane perlu diutamakan,” kata Senghor
Senegal dianggap sebagai pasukan pilihan bersama Belanda untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan A apabila diundi bersama Ecuador serta tuan rumah, Qatar yang akan beraksi buat kali pertama pada kejohanan berprestij dunia itu.
Senegal akan berdepan Belanda pada aksi pembukaan pada 22 November nanti dan dijangka. – AGENSI