DOHA – Perancang sensasi England, Phil Foden enggan dilabel sebagai antara pemain berkelas dunia pada kempen Piala Dunia 2022 kali ini kerana masih belum mencapai prestasi yang diharapkan ketika menyarung jersi skuad kebangsaan.
Menurut Foden, banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki di atas padang sekiranya dia mahu dilabel sebagai antara pemain terbaik di dunia ketika ini meskipun prestasinya ketika beraksi di peringkat kelab bersama Manchester City begitu positif.
“Saya masih belum layak dilabel sebagai pemain berkelas dunia kerana untuk mencapai status tersebut, anda perlu konsisten sepanjang masa tidak kira ketika mewakili peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan.
“Malah, anda juga perlu menjaringkan gol dengan lebih kerap dan saya masih belum berada di tahap tersebut. Namun, saya yakin satu hari nanti saya akan menjadi pemain berkelas dunia kerana prestasi saya semakin meningkat naik, selain perlu memastikan ia terus konsisten.
“Cuma, saya masih lagi jauh ketinggalan jika mahu dibandingkan dengan Lionel Messi, Kylian Mbappe atau Cristiano Ronaldo yang begitu konsisten sejak beberapa tahun lepas,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Foden turut berazam untuk meledak lebih banyak gol pada kempen Piala Dunia kali ini selepas hanya merekodkan dua jaringan dalam 18 penampilan antarabangsa sejak membuat debut pertama empat tahun lalu.
“Saya akui kelemahan saya ketika ini adalah menyumbangkan gol buat pasukan meskipun di peringkat kelab, saya berjaya perbaiki kelemahan tersebut dengan meledak lapan gol musim ini. Saya harap momentum positif dapat diteruskan pada kempen Piala Dunia kali ini,” katanya. –AGENSI