DOHA – Ketika saingan Piala Dunia Qatar membuka tirai Isnin ini, Argentina dihimpit masalah apabila penyerang sensasinya, Nicolas Gonzalez mengalami kecederaan ketika menjalani latihan semalam.
Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) berkata, penyerang berusia 24 tahun itu terpaksa diketepikan untuk menjalani rawatan selanjutnya.
Tegas AFA, tempat Gonzalez akan diambil Angel Correa dari Atletico Madrid.
“Ketika sesi latihan hari ini (semalam), Nicolas Gonzalez mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan daripada senarai Piala Dunia,” kata AFA dalam satu kenyataan.
Argentina turun ke Piala Dunia 2022 dengan penuh semangat apabila skuad kendalian Lionel Scaloni membelasah UAE 5-0 pada aksi pemanas badan terakhir mereka.
“Sesetengah pemain yang diturunkan tidak 100 peratus baik. Jadi, kami berdepan beberapa masalah kecil,” tegas Scaloni.
Menjelang sepak mula Piala Dunia 2022, Argentina akan menentang Arab Saudi Selasa ini pada perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan C, diikuti Mexico dan Poland. – AGENSI