fbpx

Penduduk Chiang Rai sedut udara beracun berbulan-bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Udara di daerah Mae Sai mengandungi gas hidrogen sianida beracun yang dibebaskan sebuah kilang di Myanmar. - Twitter @kowit_ThaiPBS

BANGKOK – Penduduk di rantau sempadan Thailand-Myanmar   hidup menderita kerana menyedut  udara beracun mengandungi gas hidrogen sianida (HCN) yang dilepaskan oleh sebuah kilang di Myanmar, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Penduduk daerah Mae Sai dalam  wilayah Chiang Rai melakukan protes selama berbulan-bulan mengenai bau tidak menyenangkan itu serta jerebu yang menyelubungi  kediaman mereka.

Mereka turut mengadu kerap  sakit kepala selain mengalami  pening, batuk dan sakit dada sejak mula menyedut udara beracun itu.

“Penduduk tempatan boleh menahannya. Semua orang akan mati. Terima kasih atas bantuan dan kerjasama anda,” kata seorang penduduk secara sinis yang mengalami batuk berdarah.

Masalah tersebut telah disuarakan di laman-laman media sosial beberapa minggu lepas dengan tanda pagar #savemaesai menjadi trending di laman Twitter Thailand.

Menurut laporan, gas beracun dan asap itu berasal dari sebuah kilang di sebelah Myanmar.

Pejabat Kawalan Alam Sekitar dan Pencemaran melaporkan,  mereka menyiasat kualiti udara di kawasan tersebut Khamis minggu lepas.

Mereka membuat kesimpulan dalam laporan dikeluarkan 11 November lalu bahawa  jerebu tersebut mengandungi gas HCN dan berasal daripada garam sianida yang digunakan oleh  kilang tersebut.

Pejabat berkenaan bersama Hospital Maesai  mencadangkan agar penduduk memakai pelitup muka, menutup pintu dan tingkap serta menggunakan pembersih udara.

Cadangan itu bagaimanapun mendatangkan kemarahan penduduk tempatan kerana kebanyakan mereka tidak mampu  untuk membeli pelitup muka atau pembersih udara.

Akhbar Khaosod kelmarin melaporkan bahawa  Jawatankuasa Sempadan Perbandaran Thailand-Myanmar (TBC) memberitahu, Myanmar menyedari masalah itu dan penduduknya di Tachileil turut menghadapai isu serupa.

Menurut TBC, gas HCN berasal daripada kilang pengeluar kalsium hidroksida bernama Baan Lom It 999 yang terletak kira-kira 6 hingga 8 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan mereka memantau rapat situasi itu kerana terdapat sebuah lagi kilang yang terletak sekitar 40 kilometer dari sempadan turut menggunakan banyak sebatian HCN. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI