PUTATAN – “Saya dapat tidur nyenyak semalam. Terlampau penatkan”.
Demikian kata Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dalam nada gurauan selepas ditanya mengenai keadaan dirinya selepas dua minggu selesai berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Shahelmey yang ditemui selepas membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan menyatakan kepenatan yang dilalui sepanjang tempoh berkempen dirasakan berbaloi dengan melihat suasana kehadiran pengundi pagi ini.
“Saya lihat ramai pengundi mendengar pesanan dan nasihat kita untuk keluar mengundi awal.
“Hal ini disebabkan keadaan cuaca yang diramalkan hujan pada sebelah petang, hari ini.
“Alhamdullilah cuaca redup sahaja pagi ini. Ia sekali gus memudahkan pengundi untuk keluar mengundi,” katanya.
Shahelmey tiba selesai membuang undi di di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan sekitar pukul 8.45 pagi.
Turut serta isterinya, Datin Dg Siti Noor Hayyati Ag Mohd Saufi dan anak pasangan itu, Hasya Bazilah Shahelmey.
Sementara itu, ditanya mengenai sambutan pengundi yang keluar mengundi bagi pusat mengundi sama, Shahelmey memaklumkan, bilangan individu keluar mengundi dilihat positif dan berharap lebih ramai datang mengundi sebelum pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang nanti.
“Semoga kita boleh menunaikan tanggugnjawab dengan membuat pilihan yg tepat dan bijak untuk kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.
Terdahulu, Parlimen Putatan menyaksikan perlawanan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Shahelmey Yahya; calon Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR), Awang Husaini Sahari; Warisan, Ahmad Mohd Said dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) – Pejuang, Poyne B Tudus @ Patrick Payne. – KOSMO! ONLINE