fbpx

Mukhairi pakar sepakan penjuru Gergasi Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUKHAIRI (kiri) mendapat nasihat Cheng Hoe untuk memperbaiki sepakan set-piece dan berhasil ketika membantu Selangor FC menewaskan TFC 3-1 di Stadium MBPJ Rabu lepas. – FARIZ RUSADIO

SEPAKAN penjuru ‘emas’ yang dilakukan oleh Mukhairi Ajmal ketika Selangor FC menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bukan satu kebetulan, namun hasil kete­kunan belajar bagi mengatasi kelemahan.

Pada aksi tersebut, Mukhairi mencipta sejarah peribadi apabila tiga sepakan sudut yang dilakukannya berjaya disudahkan oleh Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar untuk memberikan bekalan selesa buat Gergasi Merah.

Kata Mukhairi, pujian wajar diberikan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang memberikan nasihat terperinci untuk memperbaiki kelemahan khususnya ketika mengambil sepakan set-piece sebelum ini.

“Sebenarnya setiap sesi vi­deo, Cheng Hoe selalu tegur saya mengenai sepakan sudut atau sepakan percuma. Dia cakap kena tingkatkan dari segi dua sepakan itu ketika hari perlawanan sebenar.

“Justeru, setiap hari selepas latihan, benda macam itu yang saya praktik dan saya terkejut bola saya menjadi dan dapat membantu tiga jaringan pasukan,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Dalam pada itu, Mukhairi berharap rakan-rakan sepasukan tidak memandang rendah dengan ancaman yang bakal diberikan TFC khususnya pada aksi separuh akhir kedua di laman lawan nanti.

“Kami semua tidak boleh ambil mudah dan pada masa sama tidak boleh gemuruh di atas padang. Pasukan perlu dengar perancangan jurulatih sebaiknya dan berikan 100 pe­ratus untuk mara ke final nanti,” katanya.

Skuad Merah Kuning kini memburu trofi Piala Malaysia buat kali ke-34 selepas kali terakhir menang pada edisi 2015 dan berusaha untuk melangkah ke final buat kali pertama sejak musim 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI