fbpx

Mangsa banjir di PPS tetap keluar buang undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Masjid Kampung Johan Setia, Klang akan tetap keluar mengundi bagi memilih kepimpinan negara hari ini.

KLANG – Walaupun berdepan dengan cuaca tidak menentu dan kemungkinan banjir, namun keadaan itu sedikit pun tidak menghalang orang ramai khususnya penduduk daerah ini keluar mengundi hari ini.

Malah, mangsa banjir yang kini tinggal pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung Johan Setia berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sangat penting untuk memilih kerajaan stabil selepas berdepan kelesuan politik berpanjangan.

PPS tersebut ketika ini me­nempatkan 169 mangsa dari 41 buah keluarga di sekitar Johan Setia yang telah dua kali dilanda banjir dalam tempoh seminggu.

Seorang pengundi muda, Muhammad Alief Mohd. Tarmizi, 19, mengakui teruja untuk mengundi kali pertama dan memaklumkan tidak terlampau taksub dengan ideologi parti, namun mahu pe­mimpin yang benar-benar menjaga rakyat.

Katanya, pengalaman terpaksa berpindah sebanyak dua kali ke PPS dalam tempoh se­minggu cukup memeritkan dan menyusahkan dirinya serta keluarga terutama dari segi membersihkan rumah.

“Saya cari pemimpin yang tidak ‘kencing’ atau pandai buat janji sahaja. Sebagai anak muda memang saya kecewa apabila negara ada pemimpin sebegini.

“Kami terseksa dengan dunia politik umpama seperti mainan wayang. Masalah banjir di lokaliti tidak pernah selesai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Kakak Muhammad Alief iaitu Farah Diyana, 24, berkata, pilihan raya adalah mandat kepada rak­yat untuk memilih individu yang benar-benar layak memimpin negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tambahnya, pembaharuan yang jitu dari segi pemimpin perlu ada demi kelangsungan kestabilan negara.

“Mana mungkin saya lepaskan peluang mengundi yang datang lima tahun sekali. Saya sudah sedia dan harap pemimpin di­pilih lebih memahami denyut nadi rakyat dan bukan hanya pandai berkata-kata sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pekerja kilang, Hericahyono Suyitno, 30, tidak akan membiarkan dirinya menyerahkan kepada nasib sahaja selepas tidak mendaftar sebagai pengundi sebelum ini.

“Kalau dahulu saya terima dan berserah sahaja, namun sekarang tidak lagi. Kami tertekan apabila infrastruktur terutama parit, longkang dan masalah banjir di Johan Setia tidak selesai.

“Harapan saya pemimpin terpilih tidak lupa tanggungjawab mereka. Ingat kami sentiasa memantau dan tidak seperti dulu lagi yang hanya menyokong membuta tuli,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI