LONDON – Seorang lelaki tidak menyangka bahawa sejenis hidupan laut bercengkerang menyerupai makhluk asing yang ditemui sebenarnya mempunyai nilai kira-kira £4,000 (RM21,683), lapor akhbar The Sun semalam.
Dave McGirr, menemui ribuan hidupan bercengkerang putih berbentuk aneh terdampar di tepi Pantai Criccieth, Wales, England. Ia memenuhi sebatang dahan pokok di tepi pantai tersebut.
Dia merakam beberapa gambar teritip unik itu sebelum membuat pencarian di internet bagi mengetahui jenis hidupan laut tersebut.
“Saya mendapati ia sebenarnya adalah teritip Gooseneck yang digambarkan memiliki rupa seperti makhluk asing dan jarang ditemui.
“Haiwan itu dianggap sebagai juadah istimewa yang dijual pada harga £80 (RM433) bagi satu kilogram,” kata McGirr.
Tambah McGirr, dia tidak terfikir untuk membawa pulang penemuan menakjubkan itu dan meneruskan perjalanan ke Snowdonia selepas merakam gambar.
“Saya juga memuat naik gambar di laman Facebook tanpa menyedari ia sebenarnya akan menjadi berita tular,” ujarnya.
Spesies teritip yang jarang ditemui itu merupakan hidangan istimewa di negara seperti Portugal dan Sepanyol, di mana ia digelar sebagai ‘percebes’ dan berharga sehingga £300 (RM1,625) bagi 1 kilogram.
Mereka yang pernah memakan siput itu berkata, rasanya seperti udang galah yang dicampur dengan kerang, manakala teksturnya menyerupai isi sotong. – Agensi