PETALING JAYA – Laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pagi ini ‘crash’ (tergendala) apabila ramai pengguna tidak dapat mengakses aplikasi tersebut.
Ia berikutan orang ramai di seluruh negara menyemak secara serentak maklumat pengundian dan daftar pemilih yang telah disahkan, pada pagi ini.
Perkara tersebut diketahui apabila ramai pengguna Twitter menciap bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk mengakses laman sesawang serta aplikasi SPR.
“Aplikasi MySPR ‘down’, tidak boleh akses. Saya pula lupa untuk tangkap layar maklumat tersebut,” ciap salah seorang pengundi.
“Saya cuba akses MySPR untuk mengetahui saluran dan nombor siri, tetapi laman sesawang dan aplikasi itu ‘crash’,” ciap pengguna yang lain pula.
Pengundi dicadangkan untuk menyemak dan tangkap layar info tersebut sebelum keluar bagi melancarkan proses membuang undi.
“Tangkap layar info di MySPR untuk cepatkan proses. Depan nanti tunjuk sahaja tangkap layar, untuk petugas semak nombor bilangan,” ciap seorang pengundi.
Orang ramai juga boleh menyemak di laman sesawang http://semak.info/ jika laman sesawang SPR masih mengalami gangguan teknikal. – KOSMO! ONLINE