GEORGE TOWN – Waris pramugari Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh yang dilaporkan ditembak jatuh di Ukraine akur dengan keputusan mahkamah Belanda kelmarin, namun hampa kerana berlangsung tanpa kehadiran si pelaku.
Ibu Nur Shazana, Sharom Ibrahim, 66, berkata, mereka sekeluarga menerima keputusan mahkamah terhadap tiga daripada empat tertuduh yang disabitkan kesalahan.
Namun, ujar Sharom, selain ketidakhadiran tiga si pelaku tersebut ke mahkamah, keterangan berhubung motif bahan api (peluru) dilepas tertuduh ke arah pesawat dalam kejadian yang genap lapan tahun empat bulan itu masih belum melengkapkan lagi persoalan yang timbul.
“Ya, kami memang puas hati selepas mendengar keputusan mahkamah yang ditonton menerusi internet malam tadi (kelmarin), namun ia berlangsung tanpa kehadiran tertuduh. Itu yang menimbulkan tanda tanya.
“Ke mana dan di mana mereka (tertuduh) ketika ini? Kami tahu mereka tembak tetapi kami cuma nak tahu kenapa dan siapa arah tembakan?
“Meskipun kematian mangsa terbela, kita pun dah dapat full stop (keputusan akhir) tetapi masih tiada penjelasan yang tepat. Kita tahu yang terlibat takkan kembali tetapi kami juga perlu tahu motif sebenar perbuatan mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, Sharom memberitahu, dia sehingga ke saat ini masih tidak dapat melupakan Nur Shazana meskipun kejadian sudah berlalu lapan tahun lalu.
“Hati ibu mana yang dapat melupakan saat kehilangan insan tersayang. Duk tengok kapal terbang lalu atas bumbung rumah setiap hari, memang sentiasa teringat dan tak pernah terpadam,” jelasnya.
Mengenai kotak pakaian arwah yang diterimanya selepas kejadian berlaku, Sharom menambah, dia belum tergerak hati untuk membuka bungkusan yang masih dibalut kemas dan disimpan di ruang rumah.
“Mungkin akan dibuka selepas semua kes (MH17) selesai. Kotak masih disimpan elok,” ujarnya.