PELUMBA muda negara, Helmee Azman selangkah lagi untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 menjelang perlumbaan penutup tirai di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand hari ini.
Ketika ini, pelumba Boon Siew Honda Racing Team tersebut mendahului carta kedudukan perlumbaan SuperSports 600cc selepas melakar enam podium termasuk dua kemenangan di Buriram dan Litar Antarbangsa Sepang (SIC), sekali gus mendahului kedudukan keseluruhan dengan 140 mata.
Helmee yang pernah menjuarai kategori UB150 pada 2018 membawa semangat tersebut untuk melakukan terbaik pada Perlumbaan 1 dan 2 di Buriram bagi memastikan dia mampu dinobatkan sebagai juara.
“Terus terang, saya agak terkejut dengan persembahan saya pada musim ini dan ia semakin baik pada setiap pusingan perlumbaan. Saya tidak menjangkakan mampu sebaik ini kerana saya sedar ia bukan satu tugas mudah.
“CBR600 RR 2022 ini adalah sebuah jentera yang terbaik dan membantu saya mencapai keputusan positif. Apapun, ia adalah satu perjalanan yang hebat bagi saya musim ini.
“Menjelang perlumbaan minggu ini saya mengharapkan untuk menaiki podium sekali lagi dan jika menang ia adalah satu bonus,” katanya.
Bagaimanapun, Helmee perlu berhati-hati kerana pelumba Astra Honda Racing, Andi Farid Izdihar kini menjadi pencabar kejuaraan apabila berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan perbezaan 38 mata.
Pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat turut berpeluang untuk mengejar gelaran SS600 selepas berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 104 mata.