SYDNEY – Menteri Luar Australia, Penny Wong semalam menggesa Russia menyerahkan tiga lelaki yang didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 dan mengkritik Presiden Vladimir Putin kerana ‘melindungi pembunuh.’
Sebuah mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga lelaki berkenaan kerana pembabitan mereka dalam menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines itu di Ukraine pada tahun 2014.
Warganegara Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta Leonid Kharchenko dari Ukraine didapati bersalah tanpa kehadiran mereka kerana menembak jatuh pesawat jenis Boeing 777 itu dengan menggunakan peluru berpandu BUK dibekalkan oleh Russia.
Kejadian itu mengakibatkan semua 298 penumpang dan kru MH17 terbunuh.
Wong berkata, keputusan mahkamah mengesahkan ‘Persekutuan Rusia bertanggungjawab’ dalam tragedi itu.
“Kami menyeru Rusia menyerahkan pesalah-pesalah terbabit supaya mereka boleh menjalani hukuman di atas jenayah kejam yang mereka lakukan.
“Perbuatan mengelak, menyimpang atau memberikan maklumat salah oleh Russia tidak akan mengubah hakikat ini,” katanya kepada pemberita.
Wong berkata, keengganan Russia untuk menyerahkan mereka merupakan kutukan terhadap sahsiah Putin.
“Kami akan mengatakan kepada Russia bahawa dunia tahu anda menyembunyikan pembunuh dan itu membuktikan sesuatu tentang anda, Putin,” katanya kepada badan penyiaran Australia, ABC.
Moscow bagaimanapun menepis keputusan mahkamah Belanda itu sebagai bermotifkan politik.
Perbicaraan tersebut mewakili pengakhiran pencarian panjang untuk keadilan bagi mangsa tragedi MH17 yang berasal dari 10 negara itu termasuk 196 rakyat Belanda, 43 warga Malaysia dan 38 penduduk Australia. – AFP