JOHOR BAHRU – Seorang pengundi warga emas wanita tidak sempat mengundi apabila menghembuskan nafas terakhir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Paloh pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10.21 pagi itu, Tuminah Ambiah, 85 tahun meninggal dunia sebelum sempat mengundi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, kejadian berlaku ketika mangsa menunggu giliran untuk mengundi di saluran satu.
Katanya, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian mengesahkan kematian warga emas itu.
“Kakitangan KKM mengesahkan kematian pegawai hospital selepas ambulans tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang lagi, Sh Juhara Syed Mohamad, 57, turut dilaporkan meninggal dunia di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, dekat sini, 9.30 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, She Juhara meninggal dunia selepas mengundi di saluran satu bagi Parlimen Pulai.
“Kematian mangsa dilaporkan berlaku selepas mengundi setelah mangsa mengalami sesak nafas.
“Pengundi hadir ke saluran satu dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran, tapi ingin meneruskan pengundian,” katanya. – KOSMO! ONLINE