SUNGAI BULOH – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Sungai Buloh, Mohd. Ghazali Md Hamin selesai membuang undi bersama isteri serta empat anaknya termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Kota Damansara, di sini hari ini.
Beliau ketika hadir sempat beramah mesra dengan pengundi yang tiba di pusat pengundian itu seawal 8.11 pagi tadi.
Mohd. Ghazali berkata, ini kali pertama anaknya yang OKU, Muhammad Imran, 24, mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan sangat gembira dapat menunaikan tanggungjawab itu bersama keluarga.
“Saya mengundi di saluran 12 dan buang undi kira-kira 9.15 pagi tadi, syukur semuanya berjalan dengan lancar.
“Setakat ini proses pengundian semuanya lancar namun keadaan sekolah yang kecil memerlukan orang ramai untuk hadir mengikut jadual yang ditetapkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), jadi ikut jadual untuk memudahkan urusan semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dalam pada itu, cuaca yang dalam keadaan hujan renyai tidak mematahkan semangat pengundi yang tidak putus masuk ke pusat pengundian sejak pukul 8 pagi tadi.
Calon bagi Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula membuang undi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Rembau.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan membuang undi di pusat pengundian di Seputeh, Kuala Lumpur.
Kesemua calon Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru membabitkan Khairy Jamaluddin, Ramanan, Mohd. Ghazali, Mohd. Akmal Mohd. Yusoff (GTA) dan Ahmad Jufliz Faiza (PRM), manakala, baki dua lagi merupakan calon bebas. – KOSMO! ONLINE