PETALING JAYA – Biarpun terpaksa menempuhi kesesakan berjam-jam lamanya, namun ia tidak sedikit pun melunturkan semangat perantau kota dalam menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah rata-ratanya semakin teruja biarpun ada antaranya terperangkap lebih 13 jam.
Tinjauan Kosmo! di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) serta Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menunjukkan kenderaan bertali arus sejak petang kelmarin dan semakin bertambah sehingga menyebabkan kesesakan lebih 30 kilometer.
Kesesakan itu didorong faktor cuti umum bermula semalam selain tol percuma diberikan 30 konsesi lebuh raya bagi memudahkan pengundi pulang memilih tampuk kepimpinan lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, di Gua Musang, Kelantan, bahang PRU15 semakin dirasai apabila Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang di Rantau Manis dan Hentian Gua Musang di sini dipenuhi dengan perantau yang berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Seorang perantau, Firdaus Mamat, 43, dari Kuala Lumpur berkata, semangatnya untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berkobar-kobar seperti ingin pulang berhari raya.
Katanya, dia bertolak pukul 9 malam tadi (kelmarin) dan terpaksa berhenti rehat di lima R&R berikutan kesesakan luar biasa menuju ke Pantai Timur.
Katanya, laluan trafik di semua jalan utama perlahan sejak petang semalam.
“Saya bersyukur apabila tiba dengan selamat di bandar ini dan tidak tahu berapa jam perjalanan lagi untuk tiba di kampung di Kuala Krai,” katanya.
Seorang lagi perantau, Mohamad Nazuardi, 36, berkata, perjalanan ke kampung kali ini berbeza dan bersemangat untuk pulang mengundi.
Katanya, dia sekeluarga tidak kisah berdepan kesesakan lalu lintas demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Peluang untuk membuat pilihan ini tidak boleh disia-siakan bagi memilih pemimpin dan kerajaan yang mentadbir negara.
“Saya berharap semua perantau bersabar dan selamat sampai di destinasi masing-masing,” katanya.
Sementara itu di Kuala Nerus, Terengganu, pekerja kilang, Abdullah Idris, 27, berkata, dia bersama dua rakannya memilih untuk menaiki motosikal dan menempuh perjalanan hampir 15 jam untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ke Tanah Merah, Kelantan dari Johor Bahru.
“Alhamdulillah, perjalanan menunggang motosikal selesa kerana cuaca redup sepanjang perjalanan.
“Begitupun, kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya agak sesak seolah-olah kita sedang berada di musim perayaan,” katanya.
Seorang pelajar, Luqmanul Haqim Ahmad, 20, pula sangat teruja dapat pulang ke Kuala Terengganu untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi untuk kali pertama pada PRU15 ini.
“Saya dan kawan-kawan yang berasal dari Terengganu berpakat berkongsi kereta bagi menjimatkan perbelanjaan dan mula bertolak dari Sepang, Selangor selepas subuh tadi.
“Jalan memang agak sesak sebaik sahaja memasuki Plaza Tol Gombak, namun kami seronok kerana ini adalah pengalaman yang sangat ‘mahal’ dan ‘manis’ dikenang, apatah lagi melihat banyak kereta yang mengibarkan bendera parti politik pilihan masing-masing,” katanya.