Siapa calon pilihan anda hari ini? Kalau belum buat pilihan, pergi saja ke pusat mengundi. Tarik nafas, bertenang dan fikir. Mana satu yang paling banyak beri manfaat. Calon atau parti itu yang perlu dipangkah.
Tempoh 14 hari berkempen sudah berakhir pukul 12 malam tadi. Kempen kali ini berjalan dengan perlahan pada awal minggu tetapi makin rancak sejak Khamis.
Ketiadaan bekas Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sedikit sebanyak membuatkan suasana menjadi hambar berbeza semasa kehadirannya ketika Pilihan Raya Negeri di Johor dan Melaka sebelum ini.
Kempen kali ini tak terlepas dicemari tuduhan, kontroversi dan kejutan. Ada segelintir calon yang melakukan serangan peribadi kerana sudah ketandusan idea hendak cakap apa ketika berceramah.
Taktik busuk dan lapuk itu menjadi skrip ulangan setiap kali berkempen. Paling menarik ialah apabila ada parti meletakkan syarat supaya semua calonnya digalakkan mengisytiharkan harta sebelum hari pengundian.
Maka bermulalah episod baharu apabila ramai yang buat-buat terkejut tetapi pada masa sama menjadikannya sebagai peluru. Bising di media sosial dan ceramah, namun berapa kerat sahaja yang mahu membuat laporan mengikut saluran yang betul.
Pilihan Raya Umum menjadi medan semua pihak mengaut keuntungan. Tukang pacak dan gantung bendera mendapat habuan, yang cetak baju juga tak ketinggalan tetapi yang paling untung ialah calon itu sendiri.
Sebabnya ialah mudah sangat mendapat publisiti kerana zaman kempen sekarang hanya memerlukan media sosial sebagai batu loncatan untuk seseorang itu menjadi terkenal.
Tak kira benda baik atau sebaliknya, ia tetap satu publisiti. Sebagai contoh, ada seorang calon yang langsung tidak dipedulikan ketika berkempen. Nampak kelakar tetapi ia sebenarnya satu publisiti.
Isu rasuah juga sering kita dengar sampai naik muak. Ada dakwaan tetapi tak mahu pergi buat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiap tuduhan wajib disertakan bukti berkualiti agar siasatan mudah dilakukan. Jangan hanya pandai tularkan orang itu bagi duit, orang ini bagi habuan tetapi habuk pun tiada.
Bukan apa, ia bagi memudahkan SPRM menjalankan siasatan. Nanti kalau siasatan tak diteruskan tahu pula marah dan buat lagi tuduhan bukan-bukan kepada pihak berkuasa itu.
Tak percaya tanya sendiri orang SPRM. Mana-mana tuduhan atau dakwaan tanpa bukti bukan sahaja menyusahkan, malah ia akan menyebabkan banyak lagi kos akan dikeluarkan.
Badan penyiasatan itu sudah menyediakan bilik gerakan 24 jam mulai 5 November hingga hari ini untuk memudahkan mana-mana pihak membuat aduan sama ada melalui panggilan, bersemuka atau e-mel.
Yang pasti, usaha membanteras rasuah bukan hanya bermusim, ia benda berterusan. Sekali lagi diingatkan, kalau tak pasti pilihlah yang banyak beri manfaat dan kurang mudarat. Selamat mengundi.