WASHINGTON – Seorang lelaki di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana ‘menyembelih’ ibunya sebelum mengambil swafoto bersama mayat mangsa dalam keadaan tangannya berlumuran darah, lapor akhbar Daily Star semalam.
David Sumney, 33, mengambil 275 gambar bersama mayat ibunya, Margaret Sumney, 67, pada Ogos 2019 selepas membunuh mangsa.
Adik beradik mangsa berang apabila David terlepas daripada pertuduhan pembunuhan dengan membuat satu perjanjian pengakuan.
Berdasarkan perbicaraan di mahkamah, David dikatakan menempah sebuah bilik hotel selepas membunuh ibunya, di mana dia memberikan sepasang anting-anting kepunyaan mangsa kepada pengurus hotel.
“Daripada seorang wanita istimewa kepada seorang wanita istimewa,” katanya.
David kemudiannya didapati memiliki kad debit, rantai leher, gelang dan tiga keping cek milik mangsa.
Pendakwa raya berkata bahawa sejarah pencarian internet David pada 2020 memaparkan pencarian termasuk ‘berapa lama masa yang diambil sebelum badan mula reput?’ dan ‘berapa lama anda menunggu untuk membuang mayat’.
Peguam yang mewakili David, Chris Patterni berkata, anak guamnya telah ‘menyuarakan kekesalan’ selepas mendakwa hukuman penjara tujuh tahun sudah memadai.
Pejabat Peguam Daerah Allegheny County bagaimanapun berkata bahawa ‘keadilan telah dilaksanakan’ selepas hukuman itu ditentukan. – Agensi