PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia berkata, di bahagian utara, seluruh Pulau Pinang diramal berdepan dengan cuaca buruk ini manakala kawasan di Kedah adalah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling.
“Kawasan di Perak yang diramalkan menghadapi ribut petir adalah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
“Di Pantai Timur, seluruh Terengganu dijangka ribut petir dan hujan lebat manakala di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” ujarnya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.
Tambah MetMalaysia, amaran ribut petir turut dikeluarkan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan).
“Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk diramalkan bagi kawasan Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong) dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro) manakala di Sabah adalah Sandakan (Beluran) dan Kudat sahaja,” kata MetMalaysia.
Orang ramai yang masih belum membuang undi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan mendapatkan info lalu lintas yang terkini.
Pusat mengundi bakal ditutup pada pukul 6 petang bagi seluruh Semenanjung dan pukul 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE