PETALING JAYA – Penyanyi Zamani Ibrahim sekali lagi berdepan dugaan apabila kali ini kehilangan abangnya, Zulfazil Ibrahim yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.30 malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 57 tahun berikutan kegagalan buah pinggang.
“Dukacita saya dan keluarga ingin memaklumkan bahawa abang saya telah menghembuskan nafas terakhir baru semalam.
“Mohon dapat sedekahkan al-Fatihah dan doakan urusan arwah dipermudahkan,” kongsinya dalam laman sosial.
Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit sejak beberapa tahun lalu itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Sebelum ini, Zulfazil berkesempatan melawat adiknya itu ketika bakal penyanyi tersebut menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung di sebuah pusat perubatan di Cheras pada 7 November lalu.
Hubungan dua bersaudara itu sangat rapat apatah lagi selepas pemergian salah seorang adik-beradik mereka iaitu kakak kepada Zamani.
Terdahulu, Zamani pernah menyuarakan rasa pilu sebaik kehilangan kakak tersayang, Zuraidah yang juga ibu kepada penyanyi rap, Zynakal pada 26 September 2020.
Katanya, selepas ketiadaan kakaknya itu bermakna dia dan Zulfazil kini hanya tinggal dua beradik.
Sementara itu, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Aman Kg Melayu Subang, sekitar pukul 10 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE