PETALING JAYA – Gelagat seorang wanita dimarahi dan ‘dihambat’ oleh seorang nenek walaupun niat asalnya hanya sekadar ingin membantu, meraih perhatian netizen.
Video yang dimuat naik oleh wanita terbabit yang dikenali, @nshzly_ telah tular sejak semalam dan dipercayai berlaku di kawasan Sungai Udang, Melaka.
Di dalam video berkenaan, kelihatan nenek itu marah dan mengangkat menyapunya seakan mengusir wanita tersebut daripada datang menghampiri.
“Saya berhenti cuma nak tolong nenek itu sebab kesian dan nak bagi buah jambu serta wang belanja sedikit. Tetapi saya tidak tahu nenek itu ‘sakit’, ibu saya pun baru beritahu saya,” ujar @nshzly_ .
Sehingga kini video yang dimuat naik semalam di akaun TikTok wanita itu, telah mendapat 5.4 juta tontonan, 404,200 tanda suka dan 5382 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai netizen memuji tindakan murni wanita itu namun lebih terhibur melihat tindakan nenek berkenaan.
“Mungkin nenek itu tengah fobia dengan YB yang tengah berkempen,” komen salah seorang netizen.
“Lokasi ini mesti dekat Sungai Udang, Melaka, memang biasanya nampak nenek itu sapu-sapu daun kering, kebanyakan orang disitu tahu yang nenek itu ‘sakit’,” komen netizen yang lain pula. – KOSMO! ONLINE