JASIN – Penduduk di Rim dan Bukit Senggeh dekat sini digemparkan dengan kejadian hujan air batu yang melanda kawasan itu lewat petang tadi.
Satu klip video berdurasi 27 saat berkaitan fenomena itu turut tular di laman sosial Facebook dan dimuat naik portal tempatan.
Bagaimanapun difahamkan kejadian itu berlaku dalam beberapa minit sahaja.
Rata-rata netizen bagaimanapun meninggalkan komen mengaitkan kejadian itu dengan isu Disneyland yang sebelum ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Jailani Khamis akan dibuka di daerah ini pada 2027.
Bagaimanapun syarikat konglomerat media dari Amerika Syarikat, The Walt Disney Company (Disney) itu dilaporkan telah menafikan penglibatan mereka dalam projek tersebut.
“Hujan batu di Jasin Melaka. Disney tak jadi, Frozen pula datang Jasin,” tulis sebuah portal tempatan yang memuat naik klip video hujan batu.
“Terubat sikit hati orang Jasin walaupun tak dapat Disneyland,” tulis Abdul Rahim Ahmad.
“Best ar bakal jadi penduduk Disini Land, Jasin boleh main salji,” kata Azwara Azhar.
Media hari ini melaporkan Jailani telah membuat satu permohonan maaf kepada syarikat antarabangsa itu atas kekeliruan perhubung projek berkenaan.
Katanya, perkara tersebut adalah perancangan daripada Metrolink Sdn. Bhd. (Metrolink) yang menyatakan hasrat membawa Disney City ke Melaka. – KOSMO! ONLINE