PETALING JAYA – Dalam memastikan kehidupan keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa terjaga, pelbagai inisiatif serta bantuan telah diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia merangkumi pelbagai aspek seperti kemudahan tempat tinggal yang selesa kepada veteran ATM, bantuan khas kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada anak-anak veteran dan sumbangan untuk penyakit kritikal dan kronik.
Selain itu, semasa memegang jawatan Menteri Kanan Pertahanan, beliau turut menyediakan kuota khas menerusi Kementerian Pertahanan (Mindef) kepada anak veteran ke Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (MRSM ATM) di Bera.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, bagi keselesaan anggota veteran ATM, Ismail Sabri telah meneruskan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
Katanya melalui inisiatif ini, tujuan perumahan SASaR ini adalah untuk meringankan beban kos sara hidup anggota termasuk Veteran ATM yang tinggal di bandar.
Jelas beliau, projek SASaR itu pernah terhenti sebelum itu kerana pertukaran kerajaan, namun Perdana Menteri telah meneruskan semula sewaktu menjadi Menteri Pertahanan (Menhan).
“Beliau turut melaksanakan bantuan kemasukan ke IPT secara ‘one off’ RM1, 000 peringkat diploma atau RM1,500 kepada anak-anak Veteran ATM yang menyambung pengajian di universiti awam sahaja dan kemudiannya diperluaskan kepada universiti swasta.
“Pada masa sama, beliau turut menyediakan kuota khas sebanyak 30 peratus kepada anak veteran untuk belajar di MRSM ATM di Bera,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Zambery Jefry berkata, Perdana Menteri juga sentiasa mencari inisiatif baru dan penambahbaikan ke atas skim-skim bantuan sedia ada dalam usaha memperkasakan kualiti hidup Veteran ATM, sejak menerajui MinDef pada bulan Mac tahun 2020.
Jelasnya, antaranya adalah kenaikan kadar maksima Skim Bantuan Bencana Alam, perluasan skop Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Elaun Bulanan Penjagaan Veteran ATM sakit terlantar serta Kad Kesihatan Pesakit Luar di klinik swasta.
“Beliau (PM) turut mengumumkan tiga bayaran insentif kepada veteran ATM bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19.
“Bayaran insentif itu ialah dana Kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2019 termasuk Matching Grant, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Skim Bantuan Kebajikan iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH),”katanya.
Ujar Zambery Jefry, pembayaran semula dana Kutipan Kempen Tabung Pahlawan dan ‘Matching Grant’ serta insentif bagi Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang layak turut diberikan melibatkan dana berjumlah lebih RM5.3 juta.
Tambah beliau, pemberian elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) fasa kedua juga telah dilaksanakan pada bulan April 2020 kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta.
“JHEV amat berterima kasih kerana PM meneruskan dasar-dasar sedia dengan menambah baik inisiatif bagi manfaat semua Veteran ATM.
“Dasar sedia yang diteruskan ini telah diterjemahkan sebagai Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 yang digunakan pada hari ini.-KOSMO! ONLINE