ABU DHABI – Walaupun tidak dianggap sebagai pasukan pilihan pada saingan Piala Dunia Qatar 2022, namun Uruguay tetap turun dengan impian besar untuk menjulang trofi teragung arena bola sepak dunia itu.
Penyerang skuad Le Celeste, Darwin Nunez memberi amaran kepada semua pasukan bertanding supaya berwaspada dengan kemampuan Uruguay yang dijangka mampu menghasilkan keputusan luar jangkaan.
Sedar dengan status mereka sebagai bukan pasukan pilihan, pemain Liverpool itu menegaskan, mereka sedia untuk memberi tentangan kepada sesiapa sahaja yang mahu menghalang impian Uruguay menjadi juara.
“Saya sedar kami akan beraksi pada Piala Dunia dengan status bukan pasukan pilihan, namun kami tidak takut kepada sesiapa dan sedia untuk menampilkan aksi terbaik menentang mana-mana pasukan.
“Kami mahu melangkah jauh pada kejohanan kali ini. Objektif kami adalah untuk memenangi Piala Dunia dan ia akan bermula dengan menentang Korea Selatan pada aksi pembukaan nanti,” katanya.
Pada masa sama, Nunez turut menggesa rakan-rakan sepasukan supaya memberikan tumpuan sepenuhnya menjelang aksi menentang Korea Selatan pada 24 November ini bagi memastikan Uruguay memulakan saingan dengan langkah positif.
“Perlawanan pertama menentang Korea sangat penting kerana ia bakal menjadi penentu kepada hala tuju pasukan pada Piala Dunia kali ini. Kami akan bertemu pasukan-pasukan kuat dan itulah sebabnya kami di sini,” ujarnya. – AGENSI