fbpx

‘Suka atau tidak, kita kena keluar mengundi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pengguna Twitter hari ini membuat gerakan menggesa rakyat Malaysia keluar mengundi demi memastikan kestabilan politik agar segala masalah berkaitan kos sara hidup dapat ditangani.

Seorang pengguna Twitter, @syazwnr menerusi hantarannya berkata, suka atau tidak dengan politik mereka tetap perlu keluar mengundi esok kerana ia berkaitan dengan kehidupan.

“Isu gaji rendah, pengangkutan awam yang tidak efisien, masalah kos sara hidup dan pendidikan tercicir. Semua ini hanya mampu diubah oleh sebuah pentadbiran yang baik dan penuh akauntabiliti,” katanya.

Tambahnya, jika sudah berasa selesa dan berasa serba lengkap dengan kehidupan peribadi pada masa sekarang sekalipun, bagaimana agaknya pula dengan nasib jiran, anak, cucu, komuniti dan generasi seterusnya?

“Sebagai seorang yang sudah berkhidmat lebih daripada lapan tahun menjadi sukarelawan, saya ingin menekankan undi anda adalah penting. Pilihlah calon yang benar-benar mampu membantu mengubah nasib rakyat dan tolak ketepi isu perkauman kerana kesusahan tidak mengira bangsa.

“Saya teringat beberapa perkongsian di Twitter, seorang penerima berasa sangat bersyukur mendapat barangan asas seperti lampin bayi, dan sabun budak meskipun tidak berjenama.

“Jangan lupa suasana sewaktu banjir besar melanda yang mencecah hingga paras atap. Tatkala lebih daripada 100, 000 rakyat terkapai-kapai memohon pertolongan,” kata pemilik akaun Twitter berkenaan.

Hantaran yang berjaya meraih sebanyak 3,834 ciapan semula dan 2,836 tanda suka setakat ini itu seterusnya mengundang pelbagai reaksi daripada para netizen di laman media sosial berkenaan.

“Setuju. Saya tidak mampu untuk tidak mengundi. Kos hidup yang meningkat memang sudah ada impak besar kepada perbelanjaan bulanan dan simpanan yang berkurangan,” ciap seorang netizen.

“Hendak keluar mengundi tetapi, jumlah duit dalam akaun bank saya hanya ada RM11 saja. Kereta pula bermasalah dan lokasi tempat mengundi pula melebihi 50KM,” ciap seorang pengguna lain di Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI