fbpx

Semakin ramai milenial bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat lonjakan tinggi dalam kematian akibat kecederaan, serangan jantung dan bunuh diri yang berlaku selepas 2019. – HealthDay News

WASHINGTON – Golongan berusia 25 hingga 44 tahun atau digelar milenial di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kadar kematian lebih tinggi akibat tiga ‘pembunuh’ utama berbanding kumpulan umur serupa pada 10 tahun lalu, demikian menurut data terbaharu kerajaan.

Menurut agensi berita United Press International, data dari tahun 2000 hingga 2020 yang dikeluarkan Pusat Perangkaan Kesihatan Kebangsaan AS itu mendedahkan lonjakan dalam kematian akibat kecederaan, serangan jantung dan bunuh diri yang berlaku selepas 2019, iaitu ketika pandemik bermula.

Menurut laporan tersebut, kadar kematian akibat ‘kecederaan tidak disengajakan’ termasuk pengambilan dadah berlebihan, kemalangan maut dan pembunuhan mencatatkan peningkatan tahunan tertinggi dari 2019 hingga 2020.

Selain itu, kadar kematian akibat serangan jantung turut meningkat tinggi dalam kalangan milenial, iaitu melonjak 15 peratus secara keseluruhan antara 2019 hingga 2020 tanpa mengira bangsa atau etnik.

Bagi ‘pembunuh’ ketiga pula iaitu bunuh diri, kadar kematian akibat faktor tersebut melonjak pantas dalam tempoh beberapa tahun lalu dalam kalangan rakyat AS berkulit hitam dan berketurunan Sepanyol, namun  tidak melibatkan orang berkulit putih. 

Kedua-dua etnik tersebut sebelum ini mencatatkan angka stabil dalam kadar bunuh diri sejak tahun 2000 namun, menurut penyelidik, bermula 2014 dan berterusan hingga 2020, statistik bunuh diri melonjak 44 peratus dalam kalangan milenial kulit hitam.

Golongan berketurunan Sepanyol dalam masa sama,  mencatatkan peningkatan kadar bunuh diri lebih tinggi iaitu 55 peratus antara 2013 hingga 2020.

Sementara itu, meskipun kadar bunuh diri dalam kalangan orang berkulit putih meningkat 47 peratus dari 2000 hingga 2017, kadar selepas tahun tersebut ‘tidak berubah secara signifikan sehingga 2020’, kata pasukan penyelidik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

“Secara keseluruhan, trauma negara akibat pandemik memberi kesan buruk kepada generasi milenial, di mana ia kini merupakan kumpulan generasi terbesar di AS.

“Malahan, kadar kematian pada 2020 adalah yang terbanyak bagi tempoh 2000 hingga 2020 untuk semua kumpulan,” kata pengarang kajian, Dr. Jiaquan Xu dan Sally Curtin. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI