RANTAU PANJANG – Tiga beradik dari Kuala Lumpur yang merupakan pengundi luar bagi Parlimen Rantau Panjang sanggup tidur di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual malam tadi untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Nurul Syahirah Mohd. Aris,25, Nurul Syazwani, 23, dan Nurul Nusuha, 20, yang bekerja di ibu negara tiada pilihan lain apabila rumah keluarga mereka di Kubang Kual di sini masih digenangi air.
Nurul Nusuha berkata, dia bersama dua kakaknya dan saudara mereka, Siti Aisyah Zuhariman, 26, menaiki sebuah kereta dan menempuh perjalanan selama 12 jam termasuk kesesakan lalu lintas untuk pulang, namun tiada tempat tinggal apabila tiba di kampung.
“Keluarga kami sudah berada di PPS itu sejak enam hari lalu. Kami tiada pilihan lain dan perlu bermalam di PPS bersama mereka.
“Kami merancang untuk kembali ke ibu negara pada hari Ahad ini. Meskipun menempuh pelbagai dugaan, kami tiga beradik tetap akan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada PRU15,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Kubang Kual hari ini.
Sebelum itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah menjalankan gotong-royong di sekolah tersebut.
Sementara itu, Siti Aisyah berkata, meskipun tinggal di PPS, itu tidak menjadi halangan buatnya untuk keluar mengundi esok.
Menurutnya, secara kebetulan, pusat mengundi buatnya adalah sekolah tersebut yang juga merupakan PPS menempatkan mangsa banjir.
“Saya akan keluar awal pagi untuk mengundi di bangunan sebelah. Selepas mengundi, kami akan pulang untuk bersihkan rumah memandangkan banjir sudah semakin surut,” katanya. – KOSMO! ONLINE