fbpx

PRU15: Poster Shahidan bertanding BN cubaan keliru pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizal (dua dari kiri) menunjukkan poster Shahidan bertanding atas tiket BN bagi mengelirukan pengundi di Arau, hari ini.

ARAU – Satu laporan polis dibuat berhubung cubaan mensabotaj poster kempen bagi mengelirukan pengundi Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau di sini pada petang ini.

Wakil calon kepada Shahidan, Mohd. Faizal Mohd. Arif berkata, beliau menerima satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 9.12 pagi tadi memaklumkan beberapa risalah atau poster tersebar luas di kawasan Parlimen Arau.

“Risalah dan poster tersebut memaparkan gambar Shahidan kononnya akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi P.003 Parlimen Arau.

“Dalam risalah dan poster tersebut juga ada perkataan mengandungi kata-kata marilah mengundi BN,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd. Faizal turut diiringi beberapa peguam kepada Shahidan membuat laporan polis tersebut kira-kira pukul 3.05 petang di Balai Polis Arau di sini.

Menurut Mohd. Faizal, beliau yakin dan percaya bahawa risalah itu tidak benar serta menimbulkan kekeliruan dan kekacauan kepada rakyat kerana Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya mengesyaki tindakan jahat serta fitnah ini didalangi oleh musuh politik Shahidan bagi tujuan mensabotaj dan mengaburi pandangan rakyat dengan niat jahat.

“Tujuan laporan polis ini dibuat adalah untuk menafikan penglibatan Shahidan dengan risalah palsu ini dan meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini mengikut perundangan sedia ada,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, beliau mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI