BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan pengundi yang pulang ke kampung halaman masing-masing berhati-hati ketika berada di jalan raya terutamanya bagi meerka yang memandu kenderaan sendiri.
Beliau berkata, apabila kerajaan mengumumkan cuti umum hari ini iaitu sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ramai yang mula pulang ke kampung sejak malam tadi.
“Saya menyeru kepada pengundi terutama pengundi luar yang pulang ke kampung untuk mengundi supaya berhati-hati di jalan raya kerana kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Saya difahamkan jalan sesak mulai malam tadi dan hari ini juga jalan akan sesak, banyak kenderaan di atas jalan raya, yang pentingnya adalah keselamatan mereka. Itu yang saya utamakan,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32, di sini, hari ini.
Menurutnya, lebih 21 juta pengundi akan keluar mengundi esok termasuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang merupakan pengundi-pengundi baharu di seluruh negara.
Dalam pada itu beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera turut mendoakan keselamatan pengundi-pengundi yang akan pulang semula ke tempat kerja selepas pengundian esok.
“Esok kita mengundi, jadi pandu secara berhemah dan berhati-hati agar tiba ke kampung dengan selamat dan jika balik semula ke tempat bekerja masing-masing di bandar, juga saya harap berhati-hati di jalan raya.
“Saya mendoakan semua selamat kembali ke kampung dan pulang ke tempat kerja masing-masing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE