GUA MUSANG – Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membawa sebanyak 10 peti undi menaiki sebuah helikopter jenis Weststar AW139 untuk ke enam buah pos pedalaman Orang Asli di sini hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya P.032 Gua Musang, Ab. Pattah Hasbullah berkata, selain itu, sebanyak 43 trak pikap turut digunakan bagi menghantar kira-kira 80 petugas melalui jalan darat ke kawasan tersebut sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Katanya, operasi menggunakan helikopter itu bermula di Padang Pusat Sivik di sini.
“Kita menghantar sebanyak dua peti undi ke Pos Simpor, Pos Gob (1), Pos Belatim (1), Pos Balar (2), Pos Bihai (2) dan Pos Hau (2) menggunakan perkhidmatan udara.
“Selain itu, SPR turut menghantar tujuh petugas ke Pos Simpor dan 10 petugas ke Pos Gob. Petugas itu termasuk polis pengiring, polis komunikasi, ketua tempat Mengundi dan kerani pengundian,” katanya.
Ab. Pattah berkata, sebanyak enam penerbangan dilakukan dengan tempoh masa kira-kira 15 minit hingga 20 minit bagi perjalanan sehala ke pos Orang Asli berkenaan.
Katanya, operasi tersebut berjalan lancar dan semua petugas SPR di kawasan berkenaan sudah diberi taklimat. – KOSMO! ONLINE