PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan bahawa tarikh hari mengundi bagi Parlimen P.017 Padang Serai adalah pada 7 Disember depan dan bukannya 19 November seperti di kawasan Parlimen lain.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh itu ditetapkan dalam mesyuarat khas yang bersidang hari ini susulan penerimaan Writ Pilihan Raya yang dikembalikan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Padang Serai pada 16 November lalu berhubung kematian calon Pakatan Harapan (PH), mendiang M. Karupaiya.
“SPR telah menetapkan bahawa satu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai perlu diadakan semula. Oleh yang demikian, proses pengundian di Padang Serai tidak akan diadakan pada 19 November ini.
“Writ Pilihan Raya telah dikeluarkan hari ini (18 November), Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 24 November (Khamis) depan, Hari Mengundi Awal pada 3 Disember (Sabtu) dan Hari Mengundi bagi Parlimen Padang Serai adalah pada 7 Disember (Rabu) katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Ghani, tempoh berkempen pula telah ditetapkan selama 13 hari iaitu bermula selepas pengisytiharaan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember depan.
“Bagi urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian pula, ia dibuka daripada 18 November (Jumaat) dan ditutup pada 22 November (Selasa).
“Bagi maksud PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU),” jelas beliau.
Tambahnya, pada Hari Penamaan Calon 24 November kelak, calon-calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.
“Manakala, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus, calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan
Bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2022,” katanya.
Jelas beliau, DPPR tersebut mengandungi seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
“DPPR bagi PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai ini dijadualkan akan mula dijual pada 23 November 2022 (Rabu) dan para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.
“Semakan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018, 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak mulai 23 November 2022 (Rabu) ini,” katanya.
Abdul Ghani berkata, PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta. – KOSMO! ONLINE