KUANTAN – Dianggarkan seramai 1.12 juta rakyat di negeri ini bakal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung esok.
Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, sebanyak 522 pusat mengundi biasa membabitkan 2,023 saluran telah ditetapkan.
“Proses pengundian pada Sabtu ini bermula pada pukul 8 hingga 6 petang kecuali di beberapa kawasan pedalaman.
“Seramai 18,558 petugas ditempatkan di pusat mengundi biasa yang diketuai 14 Pegawai Pengurus SPR setiap Parlimen,” katanya ketika melakukan tinjauan petugas SPR yang melakukan persiapan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol.
Dalam pada itu katanya, SK Bukit Setongkol merupakan antara pusat pengundian yang mempunyai 12 saluran mengundi.
“Selain menggunakan bangunan dan dewan sekolah, dua khemah turut dibuka di pekarangan sekolah bagi menampung pertambahan pengundi,”katanya.
Sementara itu, Zamree turut menasihatkan pengundi membuat semakan awal melalui aplikasi MySPR Semak bagi memudahkan urusan.
“Melalui semakan itu, pengundi akan mendapat maklumat lokasi pusat mengundi biasa dan mengetahui saluran ditetapkan.
“Selain itu, pengundi diharap dapat mengikuti masa yang diberikan iaitu mengikut masa untuk mengelak berlaku kesesakan di pusat mengundi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE