KUALA LUMPUR- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan beliau tiada dalam Kabinet ketika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku.
Johari berkata sedemikian sebagai membalas kenyataan dibuat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad yang cuba mengaitkan beliau dengan isu berkenaan dalam ucapannya semalam.
Menurut Johari, Khalid dilihat sudah ketandusan modal berkempen serta selalu bercerita tanpa menggunakan fakta.
“Inilah masalah Khalid Samad, dia selalu cerita tanpa guna fakta. Saya jadi Menteri Kewangan II pada Jun 2016 dan kes 1MDB bermula pada tahun 2009, 2010 dan 2011.
“Saya jadi wakil rakyat pada tahun 2013, ‘backbencher’ dua tahun setengah. Apabila saya masuk kerajaan, penyiasatan sedang dibuat pihak berkuasa negara iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Audit Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di sini tadi.
Katanya, beliau tidak dapat masuk campur dalam kes berkenaan memandangkan sedang dalam siasatan ketika itu.
“Saya juga pernah mengeluarkan kenyataan ketika menjadi Menteri Kewangan II mengenai 1MDB dengan mengatakan modul perniagaannya salah, pengurusan teruk serta tadbir urus tidak bagus.
“Adakah agensi seperti SPRM, PDRM dan Bank Negara sebodoh itu hendak membebaskan mereka yang terbabit dalam kes ini?
“1MDB sudah habis cerita dan Perdana Menteri ketika itu (Najib) pun sudah masuk penjara,”’tegasnya.
Susulan itu, Johari menyifatkan beliau tidak berminat untuk berbicara dengan calon PH itu berikutan Khalid gemar berdrama serta bercakap tanpa sebarang fakta. – KOSMO! ONLINE