fbpx

PRU15: 20.8 juta pengundi tentukan kerajaan baharu esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar online.

PETALING JAYA – Seramai 20,853,681 pengundi akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di 8,958 Pusat Mengundi bagi menentukan parti manakah yang akan membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Selain itu, jumlah pemilih berdaftar tersebut turut melibatkan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 38,348 Tempat Mengundi (saluran) akan dibuka bermula 7.30 pagi dengan melibatkan seramai 363,515 orang petugas.

“Susulan itu, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa ditetapkan atas sebab tertentu, mereka masih boleh keluar mengundi dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang bagi Semenanjung, manakala bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Jelasnya, pengundi juga dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“SPR juga mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kempen PRU15, katanya, tempoh kempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan semua pihak hendaklah menghentikan sebarang aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi di media sosial selepas waktu itu.

“Semua parti atau calon bertanding turut dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Pengundi juga tidak dibenarkan membawa telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) dan jika membawanya mereka perlu meletakkannya di tempat disediakan setelah menerima kertas undi seterusnya mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” tegasnya.

Katanya lagi, SPR juga menyarankan pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

“SPR juga menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi untuk tidak memakai baju,topi, pelitup separuh muka atau membawa item yang mempunya nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon bertanding.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggar peruntukan ditetapkan boleh dihalang daripada memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” jelasnya.

Katanya, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses itu serta tidak menggugat ketenteraman awam.

Jelasnya, sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI