fbpx

Masalah kewangan, kemurungan suntik semangat Roslinda berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLINDA tekad untuk keluar dari kepompong kesusahan dan masalah kewangan dengan mengambil keputusan menjalankan bisnes sendiri.

SIAPA sangka dalam setiap kejayaan yang dimiliki seseorang pada hari ini, ada cerita dan pahit jerih yang terpaksa dilalui sebelum berada di puncak menara.

Begitu juga yang terpaksa dilalui dan diharungi anak jati Kuala Besut, Terengganu ini sebelum berjaya bergelar usahawan barangan kemas hari ini.

Menyorot kembali, Roslinda Mohamad bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilaluinya beberapa tahun kebelakangan ini sebelum nekad menceburkan diri dalam perniagaan.

Dua dekad menghambakan diri sebagai kakitangan kerajaan sebagai pembantu tadbir, ada sahaja masalah dan kekangan yang terpaksa diterima ibu lima cahaya mata ini.

Bukan sahaja dari aspek kekangan kewangan, namun terdapat pelbagai masalah lain termasuk berkaitan keluarga yang terpaksa dihadapinya.

“Kita kerja pembantu tadbir dan bukan pegawai memang tak lari daripada masalah kewangan. Tak sampai hujung bulan duit mesti tak cukup dan cukup-cukup makan sahaja.

“Suami pula pada masa itu ada perniagaan sendiri, tetapi biasalah orang meniaga ni tak selalunya untung dan berada di atas.

“Hendak atau tidak, kami berdua suami isteri terpaksa gagahkan diri untuk teruskan hidup demi membesarkan anak-anak tersayang,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

BERKAT usaha tanpa kenal erti jemu, ibu kepada lima cahaya mata ini berjaya membuka kedai barangan kemas kedua miliknya di Lembah Sireh, Kelantan bulan lalu.

Berkongsi lanjut, Roslinda yang memang berminat dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi nekad untuk melakukan perniagaan kecil-kecilan sambil bekerja.

Katanya, bermacam-macam perniagaan dilakukan tak kira kosmetik, produk pelangsingan badan dan tak kurang juga pakaian dan minuman termasuk menjadi pengasas jamu untuk menambah pendapatan sampingan.

“Apa sahaja barang dan produk yang saya tak jual, semuanya saya pernah lakukan bagi menambah pendapatan sampingan.

“Alhamdulillah perniagaan yang saya ceburi dan kebanyakannya dilakukan secara online itu berhasil dan boleh pergi jauh.

“Namun di sebalik kerancakan dan keseronokan berbisnes, ada perkara kurang enak yang terpaksa diterima saya dan itulah titik permulaan buat diri ini melakukan bisnes dengan lebih serius,” ujarnya.

SUAMI, Wan Azman Fikri Wan Husin menjadi tulang belakang dan sumber inspirasi dalam kejayaan dan setiap langkah Roslinda hingga ke hari ini.

Jelas anak bongsu daripada tujuh beradik ini, dek keghairahan menambah pendapatan kerana mahu keluar dari kepompong masalah kewangan yang bertahun dialami, mutu kerja Roslinda sebagai kakitangan awam mula merudum.

Katanya, dia acap kali ditegur pegawai atasan dan ada sampai satu tahap menasihatinya untuk berhenti kerja dan meninggalkan kerjayanya itu.

Beritahu Roslinda, atas nasihat dan perbincangan yang dilakukannya bersama suami serta rakan-rakan terdekat, dia nekad untuk berhenti kerja dengan mengambil pencen pilihan sewaktu berusia 40 tahun.

“Saya nekad untuk serius dalam perniagaan yang sudah nampak hala tuju dan masa depannya itu.

“Justeru, saya nekad untuk ambil pencen pilihan dan menggunakan ganjaran serta pencen yang diterima sebagai modal untuk membuka sebuah kedai emas yang sudah lama saya hajati,” katanya.

Menyambung perbualan, Roslinda berkata, sebelum mendapat pencen dan ganjaran kewangan hasil 20 tahun bekerja, pelbagai ujian yang terpaksa ditelan hingga menyebabkannya jatuh kemurungan serta hampir melakukan perkara dilaknat Allah SWT.

Ujar Roslinda, gajinya ketika itu ditahan dan ganjaran pencen yang dijanjikan terpaksa ditunggu lama hingga menyebabkan dia dan keluarga hampir putus punca pendapatan.

“Bayangkan pada masa itu negara dah mula dibadai pandemik, ramai yang kena buang kerja, saya pula terpaksa lama menunggu pencen yang dijanjikan sampai kewangan jadi begitu susut.

“Perniagaan suami juga sama lemah. Mungkin pada ketika itulah titik ujian sebenar Allah nak berikan kepada kami.

“Tanpa berfikir panjang demi anak-anak selain tidak hanya bergantung kepada perniagaan sambilan, Roslinda dan suami pernah meminjam RM2,000 kepada Ah Long untuk meneruskan hidup dan membayar komitmen.

“Itu titik paling berat saya pernah jalani. Sampaikan saya lambat bayar, poster wajah saya ditampal pada pokok sekitar tempat saya tinggal oleh Ah Long tersebut,” katanya yang pada ketika itu mengakui turut diminta dirujuk ke pakar psikiatri kerana depresi melampau.

SOKONGAN tidak berbelah bahagi daripada staf, kakitangan dan ejen turut memacu kepada kejayaan perniagaan yang dibangunkan Roslinda atau dikenali sebagai Lin Amanda.

Jelas Roslinda lagi, suaminya juga terpaksa menggadaikan tanah pusaka milik keluarganya demi membayar hutang Ah Long yang meningkat kepada RM80,000.

Bangkit dari segala kesusahan dan kisah lampau yang seakan-akan mimpi, Roslinda bersyukur perniagaan barangan kemas kecil-kecilan miliknya diterima dan kini sudah pun mempunyai dua cawangan di Kelantan.

Jelas Roslinda, dia mahu membuktikan walaupun seberat mana ujian dan cabaran getir hidup diberikan, pada pengakhirannya pasti ada jalan keluar selagi mana kita berusaha tanpa putus asa.

Katanya lagi, dia juga menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan kedai emas miliknya di setiap negeri selain melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menghasilkan pendapatan lumayan selain turut mengikut jejak langkahnya mempunyai kedai emas sendiri kelak.

Menyimpul bicara, Roslinda berjanji, dia akan terus membantu lebih ramai golongan wanita dan mana-mana individu terutama yang pernah senasib dengannya menerusi perniagaan yang dibangunkan sekali gus mengubah nasib hidup serta membuktikan kejayaan milik semua tanpa sebarang alasan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI