fbpx

Lawa atau biasa-biasa, kena bijak ‘bawa diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORKUMALASARI, Sharifah Rose, Md. Nasir dan Yusof Haslam antara panel yang menjayakan forum bertajuk, Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? dianjurkan oleh WHAM dengan kerjasama Finas dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK) UKM, baru-baru ini. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

SUBJEKTIF. Itu perkataan sesuai menggambarkan situasi yang sedang hangat diperkatakan orang industri berhubung keperluan cantik versus bakat untuk golongan yang bekerja dalam persada seni.

Seseorang itu boleh ‘melawa’ dan pada masa sama memiliki bakat seni yang hebat atau sebaliknya. Seseorang yang memiliki rupa paras ‘biasa-biasa’ juga mempunyai ruang setara menonjol sebagai pelakon andai datang sekali dengan bakat yang terus diasah.

Isnin lalu berlangsung satu sesi forum bertajuk, Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? berlokasi di Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Bangi.

Antara panel yang hadir termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, pelakon berpengalaman, Noorkumalasari serta dua pelakon generasi baharu Sharifah Rose dan Hariz Hamdan.

Bakat itu semula jadi – Md. Nasir

Md. Nasir ketika sesi forum memaklumkan, rupa paras dan bakat perlu berjalan seiring dalam memastikan kelestarian kerjaya seni atau lakonan seseorang.

Sungguhpun begitu katanya, bakat adalah yang paling utama dan perihal tersebut perlu digilap dari semasa ke semasa sekiranya ingin berjaya dalam bidang seni lakonan.

“Kalau muka dah ada, perlu juga ingat yang bakat mestilah sentiasa digilap. Bukan semua orang ada ‘nature’ atau bakat semula jadi kerana itu adalah kurniaan Tuhan.

“Kalau tiada rupa yang menawan pun, masih ada peluang jadi pelakon namun perlu diingat, bakat perlu sentiasa digilap,” tegasnya.

Rupa penting, prasyarat – Yusof Haslam

Sementara itu, penerbit tersohor tanah air, Yusof Haslam berpendapat, di gelanggang hiburan Malaysia, memang tidak dapat dinafikan bahawa rupa paras memainkan peranan penting dalam aliran kerjaya seseorang.

Menurutnya, kedua-dua perkara tersebut merupakan elemen penting yang menjadi prasyarat pada seseorang untuk bergelar pelakon.

“Memang lumrah manusia nak tengok benda-benda cantik. Saya setuju dengan kenyataan Datuk A. Aida sebelum ini, malah saya juga akan mendapatkan pandangan isteri sebelum pilih pelakon.

“Filem pertama Bayangan Maut yang diterbitkan pada 1991, saya ambil Noorkumalasari sebagai pelakon yang dahulunya peragawati dan model yang cantik. Dalam Sembilu pula, saya pilih Erra Fazira sebab cantik dari segi cara dia berjalan dan bercakap, begitu juga Ziana Zain,” kongsinya.

Rentetan itu, Yusof turut menasihatkan kepada semua pelakon baharu supaya tidak mudah lemah semangat dengan segala kritikan diterima dalam media sosial.

“Jangan putus asa kalau terima kritikan. Tetapi jangan pula bangga atau perasan bagus ketika menerima pujian yang melambung.

“Segala kritikan yang diterima hendaklah dikaji supaya dapat menjadi pelakon lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Media main peranan – Noorkumalasari

Noorkumalasari pula berkata, era kariernya sangat berbeza dengan dunia sekarang. Ketika dirinya berada di puncak kejayaan, wartawan adalah sumber perdana yang menjadi rujukan. Sementaralah sekarang semuanya bergantung dengan media sosial.

“Dahulu kita 100 peratus bergantung kepada media (surat khabar). Sekarang dah ada media sosial, orang seni dah tak perlukan media.

“Budaya itu salah. Bagi saya, kita akan selama-lamanya perlukan wartawan atau media. Kalau media sosial kena godam, hancur segala-galanya.

“Kemudian baru nak cari wartawan atau media. Tak boleh nafikan wartawan masih memainkan peranan penting dalam memajukan kerjaya seseorang pelakon, tak kiralah seseorang itu lawa atau tidak,” katanya.

Pelakon dan bekas model berpengalaman itu menambah, menjadi seorang pelakon bukan satu profesion yang mudah. Penampilan harus sentiasa dijaga tidak kira di mana berada.

“Kena sentiasa jaga penampilan di tempat awam atau di mana-mana.

“Jangan bila tak berlakon, pergi membeli-belah tak jaga penampilan. Tak boleh begitu. Saya sebagai orang lama, sejak dulu memang amalkan kalau pergi mana-mana, tetap bersolek dan pakai busana yang sesuai.

“Bermakna kalau wartawan atau jurugambar tangkap gambar, saya sentiasa dalam keadaan bersedia. Saya seorang model dan memang dilatih sebegitu,” terangnya optimis.

Setiap hari proses belajar – Sharifah Rose

Mewakili pelakon generasi baharu, Sharifah Rose berkata, dia tidak melihat rupa paras sebagai tiket untuk mudah diterima baik dalam industri.

Sebaliknya keras keras adalah elemen penting yang disalurkan bagi memastikan kestabilan kerjaya.

Rose bagaimanapun berpendapat, memiliki paras rupa menawan boleh membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni.

“Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat risau sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh jadi pembuka jalan, namun perlulah ada inisiatif untuk terus belajar.

“Saya pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri.

“Setiap hari berlalu sebagai seorang pelakon adalah proses pembelajaran dan kita perlu setiasa meletakkan usaha untuk memperbaiki diri terutama dari segi lakonan dari hari ke hari,” katanya.

Forum turut dihadiri Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa, penerbit Datuk A. Aida, Ketua Kluster Komunikasi Pusat Pengajian Media & Komunikasi UKM, Dr. Ammar Redza Ahmad Faizal serta Presiden Persatuan Penulis Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI