PETALING JAYA – Keadaan trafik di lebuh-lebuh raya utama di Lembah Klang terutamanya menghala keluar dari ibu kota masih lagi sesak dan perlahan di beberapa kawasan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Lembaga Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) sesak lebih 30 kilometer (km) bermula dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Lentang.
“Trafik sesak dan perlahan sepanjang 29.7 kilometer dari Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) bercantum di Plaza Tol Gombak sehingga KM44.5 berhampiran Lentang.
“Turut dilaporkan sesak dan perlahan kira-kira 2.7 km dari KM49.8 hingga KM 52.5 (Bukit Tinggi ke Lentang),”ujarnya.
LPT berkata, trafik juga perlahan kira-kira 500 meter sebelum Plaza Tol Karak arah ke Kuantan berikutan pertambahan kenderaan.
Sementara itu, mengikut laporan di Twitter @llmtrafik, trafik turut dilaporkan perlahan dan sesak di beberapa kawasan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
“Trafik perlahan berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Ulu Bernam ke Behrang; sebelum keluar Plaza Tol Behrang; Behrang ke Slim River dan sebelum keluar Plaza Tol Slim River.
“Turut perlahan dari Slim River ke Sungkai; selepas Sungkai ke Bidor; sebelum keluar Plaza Tol Behrang dan R&R Tapah ke Gopeng,”ujarnya.
Sementara itu, bagi arah selatan pula, trafik perlahan di kawasan Senawang ke Pedas Linggi, Hentian Rehat Pedas Linggi ke Simpang Ampat dan Restoran Jejantas Ayer Keroh ke Persimpangan Ayer Keroh.-KOSMO! ONLINE